Kenyataan Akhbar (Arkib)

Bil Perkara
1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-222
2. Kenyataan akhbar oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri selepas Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-222 pada 14 Oktober 2010 di Istana Negara, Kuala Lumpur
3. Perutusan takziah
4. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-223
5. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-224
6. Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-228
7. Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-234
8. PENUKARAN NAMA JALAN UTAMA SEKITAR KL KEPUTUSAN KEMENTERIAN - Tengku Adnan
9. Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-236
10. Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-237
11. Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-238
12. KENYATAAN RAJA-RAJA MELAYU
13. KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-238
14. KKENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-245
15. KENYATAAN MEDIA PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN PENUBUHAN JAWATANKUASA TERTINGGI INSTITUSI HAL EHWAL ISLAM PERINGKAT PERSEKUTUAN

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-222

Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-222 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Oktober 2010. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang diwakili oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (Pemangku Raja Pahang), Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan diwakili oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan) dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Yang Teramat Mulia Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja). Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah Mempengerusikan Mesyuarat Majlis.

2.    Dalam Mesyuarat Hari Pertama (13.10.2010) Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, iaitu Raja Yang Mempengerusikan Mesyuarat Majlis telah bertitah mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, Al-Sultan Kelantan berangkat hadir sebagai Anggota penuh Majlis Raja- Raja dan keseluruhan titah ucapan seperti berikut :-

"Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda Sultan Muhammad Ke-V, Al-Sultan Kelantan. Paduka Ayahanda beserta dengan Seri Paduka Ayahanda, Seri Paduka Kekanda dan Seri Paduka Adinda, Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dengan amat sukacitanya mengalu-alukan Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda yang telah selamat dimasyhurkan dan naik takhta Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, serta dapat hadir dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja pada hari ini sebagai Anggota penuh.

Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas permasyhuran Anakanda.

Seri Paduka Anakanda, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman yang luas baik dari segi pentadbiran dan juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, serta berjiwa rakyat, maka Majlis ini percaya dan berkeyakinan penuh bahawa Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda akan dapat memberi bantuan dan input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja. Dalam Majlis ini juga Paduka Ayahanda serta Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri-Yang di-Pertua Negeri dengan rasa dukacita yang teramat sangat atas kegeringan Seri Paduka Adinda, Sultan Ismail Petra semenjak lebih dari setahun lalu. Adapun Seri Paduka Adinda Sultan Ismail Petra adalah seorang Anggota yang amat aktif dan sentiasa mengambil berat di dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja selama ini.

Paduka Ayahanda serta Seri Paduka Ayahanda, Seri Paduka Kekanda dan Seri Paduka Adinda Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri-Yang di-Pertua Negeri melalui Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda dengan sukacitanya menyampaikan salam Majlis kepada Seri Paduka Adinda, Sultan Ismail Petra dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga kesihatan Baginda akan bertambah baik lagi.

Paduka Ayahanda dan juga Majlis Mesyuarat Raja-Raja mendoakan semoga Negeri Kelantan Darul Naim yang diperintah oleh Seri Paduka Anakanda akan terus aman dan tenteram dan dapat menempuh arus yang dihadapi sekarang ini dengan aman dan sempurna. Seri Paduka Anakanda juga didoakan dapat memerintah di atas Takhta Kerajaan Negeri Kelantan dengan adil dan saksama serta memimpin Negeri Kelantan Darul Naim menuju kejayaan yang mana rakyatnya yang berbilang kaum akan hidup dalam keadaan aman dan makmur serta Seri Paduka Anakanda sentiasa dikasihi oleh rakyat jelata.

Paduka Ayahanda serta Seri Paduka Ayahanda, Seri Paduka Kekanda dan Seri Paduka Adinda Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri bersama berdoa kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala mudah-mudahan dilanjutkan usia zaman Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, InsyaAllah."

3.    Pada hari ini (Hari Yang Kedua) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bersama-sama berangkat hadir di Mesyuarat Majlis. Perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, Agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

14 Oktober 2010

Kenyataan akhbar oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-222 pada 14 Oktober 2010 di Istana Negara, Kuala Lumpur

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 13 dan 14hb Oktober 2010 memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar Kedaulatan Perlembagaan Negara.

2.    Majlis Raja-Raja juga memandang serius terhadap kewujudan jumlah jenayah yang boleh diketegorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej Negara.

3.    Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung dengan perkara-perkara yang menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

4.    Raja-Raja Melayu bersama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri memahami serta menghargai usaha-usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

5.    Raja-Raja Melayu menyeru rakyat Negara ini untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial, iaitu semangat permaufakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

6.    Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di Negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil. Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di Negara ini.

7.    Raja-Raja Melayu menyeru setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, supaya terus bersatu serta bersifat setia kepada Negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran Negara. Setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan Negara. Raja-Raja Melayu berharap setiap rakyat akan terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang ada dan mengelakkan tindak tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan kehormonian Negara. Demi kedaulatan dan kehormonian Negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan Negara.

8.    Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkahan sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan Negara. Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermaufakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu. Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

9.    Raja-Raja Melayu berdoa agar Negara Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera. Semoga Negara Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

Tarikh: 29 Oktober 2010

Perutusan takziah

Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu adalah dengan ini diutus warkah ucap takziah ini.

2.    Duli-Duli Yang Maha Mulia menerima berita pemergian Tun Dr. Lim Chong Eu dengan kesedihan dan meyifatkan bahawa Negara telah kehilangan salah satu tonggak utama, seorang negarawan yang telah mengabadikan diri, berkorban kepada negara bangsa, memenuhi tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komitmen sejak era pra merdeka lagi.

3.    Baginda-Baginda Raja-Raja Melayu amat maklum bahawa Tun Dr. Lim Chong Eu atas jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengiringi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di antara 23 Julai 1969 sehingga 1 Mac 1990.

4.    Adalah dalam pemerhatian Duli-Duli Yang Maha Mulia juga bahawa walaupun Pulau Pinang berada di bawah naungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, namun Tun Dr. Lim Chong Eu telah memperlihatkan sifat santun dan budaya yang sangat memahami adat resam negeri beraja dan rakyat bersultan. Oleh itu dalam tempoh menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu dari masa ke masa telah menghadirkan diri dalam istiadat-istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demikian juga menghadirkan diri dalam istiadat-istiadat pertabalan Raja-Raja Melayu.

5.    Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menghargai semangat kenegaraan yang dipamerkan oleh Tun Dr. Lim Chong Eu dari segi menjunjung prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Negara terutama yang menyentuh asas persepakatan yang telah dicapai di antara pelbagai kaum di Negara ini dalam proses penggubalan Perlembagaan Merdeka.

6.    Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mengikuti gaya kepimpinan dan kegiatan politik Tun Dr. Lim Chong Eu merumuskan bahawa beliau senantiasa meletakkan kepentingan Negara mengatasi kepentingan peribadi, senantiasa peka kepada nasib rakyat jelata terutama golongan miskin dan kurang bernasib baik. Beliau adalah contoh teladan mengamalkan cara hidup sederhana, mengutamakan produktiviti, mengelak pembaziran serta menegaskan kepentingan pelajaran dan pendidikan di kalangan warga. Beliau adalah tokoh politik yang pragmatik, senantiasa mengutamakan perpaduan dan kestabilan, menentang politik berunsur perkauman dan pelampau.

7.    Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menghargai usaha-usaha pembangunan yang telah dirintis secara bijaksana oleh Tun Dr. Lim Chong Eu hingga berjaya meletakkan Pulau Pinang menjadi antara negeri termaju di Malaysia, sekali gus membantu memberikan imej baru negara Malaysia di peringkat antarabangsa dalam sektor pembuatan terutama dalam sektor elektronik.

8.    Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada Toh Puan dan keluarga di atas kehilangan besar ini. Semoga Toh Puan dan keluarga menerima dugaan kesedihan ini dengan penuh tabah dan kekuatan.

Menjunjung Titah Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja Melayu.

 

(ENGKU TAN SRI DATO SRI IBRAHIM BIN ENGKU NGAH)
PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA,
MALAYSIA.

Tarikh: 9 Disember 2010

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-223

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-223 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Februari 2011. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Yang Teramat Mulia Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja). Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus telah Mempengerusikan Mesyuarat Majlis.

2.    Pada hari ini (Hari Yang Kedua) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia bersama-sama berangkat hadir. Taklimat mengenai keselamatan, dan pertahanan telah disampaikan oleh Y.Bhg. Jen. Tan Sri Dato' Sri Azizan bin Ariffin, Panglima Angkatan Tentera dan Y.Bhg. Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara. Perkara-perkara mengenai Agama Islam dan pelantikan termasuk pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan telah dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

24 Februari 2011/ 21 Rabiulawal 1432

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-224

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-224 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Jun 2011. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman diwakili oleh Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Annuar Alhaj ibni Almarhum Sultan Badlishah (Tunku Bendahara Kedah Darul Aman), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang diwakili oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Ah-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (Pemangku Raja Pahang), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja) dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus tidak berangkat kerana sedang menjalani rawatan kesihatan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah Mempengerusikan Mesyuarat Majlis.

2.    Pada hari ini (Hari Yang Kedua) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bersama-sama berangkat hadir. Taklimat mengenai keselamatan, dan pertahanan telah disampaikan oleh Y.Bhg. Jen. Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli bin Mohd Zin, Panglima Angkatan Tentera dan Y.Bhg. Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara. Perkara-perkara mengenai Agama Islam dan pelantikan termasuk pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan telah dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

16 Jun 2011/ 14 Rejab 1432

Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-228

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-228 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Februari 2012. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang diwakili oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (Pemangku Raja Pahang). Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah Mempengerusikan Mesyuarat Majlis.

2.    Pada hari ini (Hari Yang Kedua) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia berangkat hadir di Mesyuarat Majlis. Majlis juga telah mendengar taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh Y.Bhg. Jen. Dato' Sri Zulkifeli bin Mohd Zain (Panglima Angkatan Tentera), keselamatan oleh YDH Tan Sri Ismail bin Omar (Ketua Polis Negara). Perkara-perkara mengenai Agama Islam dan pelantikan termasuk pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan telah dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

23 Februari 2012 / 1 Rabiulakhir 1433

Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Berkenaan Dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-234

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-234 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Februari 2014. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang diwakili oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (Pemangku Raja Pahang) dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan diwakili oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan). 2. Pada hari ini (Hari Yang Kedua) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor diwakili oleh Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Temenggong Johor) berangkat hadir di Mesyuarat Majlis. Majlis juga telah mendengar taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh YBhg. Jen. Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli Bin Mohd Zin (Panglima Angkatan Tentera), keselamatan oleh YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar (Ketua Polis Negara) serta taklimat mengenai Government and Services Tax (GST) dan kos sara hidup oleh YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan). Perkara-perkara mengenai Agama Islam, isu mengenai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang tidak diiktiraf dan pelantikan-pelantikan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan Ahli-ahli Lembaga Pengelola The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) turut dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

Februari 2014 /Rabiulakhir 1435

PENUKARAN NAMA JALAN UTAMA SEKITAR KL KEPUTUSAN KEMENTERIAN - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukar nama lapan jalan utama di sekitar Kuala Lumpur bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-raja, sebaliknya ia adalah keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan. Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan itu diambil kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah negara ini bagi memastikan rakyat terus mengingati mereka. "Idea untuk menukar nama jalan-jalan utama yang terlibat bukanlah datang daripada Majlis Raja-raja (seperti yang dilaporkan dalam portal berita alternatif), tetapi ia datang daripada kementerian. "Tujuan ia dilakukan ialah bagi mengingatkan warga kota, dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya, dengan nama-nama mereka. Nama Yang di-Pertuan Agong sepatutnya diingati masyarakat kerana mereka sebahagian sejarah pemerintahan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan portal hari ini bahawa permintaan itu kononnya datang daripada Majlis Raja-raja. DBKL, dalam satu kenyataan beberapa hari lepas, mengumumkan nama-nama jalan utama yang terlibat ialah Jalan Duta, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ipoh, Persiaran Duta, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah, Lebuhraya Mahameru, Persiaran Mahameru dan Jalan Semarak. Jalan-jalan itu akan ditukar nama kepada Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Tuanku Ja'afar, dan Jalan Sultan Yahya Petra. Menurut DBKL, nama-nama baharu itu mula berkuat kuasa pada 26 Nov 2015.

KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-236

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-236 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2014, dan telah dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, diwakili oleh Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Muda Pahang, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor diwakili oleh Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.

2. Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh YBhg. Jen. Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli Bin Mohd Zin (Panglima Angkatan Tentera), mengenai keselamatan oleh YDH. Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar (Ketua Polis Negara) dan mengenai ekonomi oleh YBhg. Datuk Dr. Rahamat Bivi Yusoff (Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi). Perkara-perkara mengenai Agama Islam, pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), pelantikan Ketua Audit Negara, pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan dan pemilihan calon-calon penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pengajian 2014/2015 turut dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

30 Oktober 2014.

KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-237

Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-237 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Mac 2015 dan telah dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, diwakili oleh Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Muda Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. 2. Pada hari ini (Hari Yang Kedua), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berangkat hadir di Mesyuarat Majlis. Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh YM. Jen. Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Panglima Tentera Darat) dan mengenai keselamatan oleh YDH. Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar (Ketua Polis Negara). Perkara-perkara mengenai Agama Islam, pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, pelantikan semula seorang Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan pelantikan ahli Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam turut dibincangkan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

12 Mac 2015

KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-238

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-238 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Jun 2015 dan telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, diwakili oleh Yang Amat Mulia Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Tengku Sri Temenggong Raja dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, diwakili oleh Yang Amat MuliaTunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.

2. Pada hari ini (Hari Yang Kedua), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berangkat hadir di Mesyuarat Majlis. Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh YBhg. Jen. Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli bin Mohd Zin (Penglima Angkatan Tentera) dan mengenai keselamatan oleh YDH. Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim (Timbalan Ketua Polis Negara). Perkara-perkara mengenai Agama Islam, pelantikan semula dan pelantikan baharu Ahli Dilantik Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) turut dibincangkan.

3. Majlis turut merakamkan rasa dukacita berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku di Ranau dan Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Bersama-sama ini dilampirkan titah Majlis Raja-raja mengenai kejadian tersebut.

TITAH MAJLIS RAJA-RAJA SEMPENA MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-238

Majlis Raja-raja yang bersidang hari ini (10 Jun 2015) ingin merakamkan perasaan yang amat dukacita berikutan kejadian gerak gempa yang berlaku di sekitar kawasan Ranau dan Gunung Kinabalu, Sabah, yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan harta benda kepada rakyat Malaysia dan juga pelawat/pengunjung dari luar Negara. Majlis menyedari bahawa meskipun malang dan musibah tidak berbau, namun peristiwa gempa bumi itu adalah yang pertama dialami di daratan Malaysia pada kadar getaran yang besar iaitu hamper 6 darjah pada skal Richter.

Majlis Raja-raja turut menzahirkan simpati kepada keluarga-keluarga yang ditimpa malang seraya mendoakan agar mereka bersabar menghadapi bencana yang tidak disangka itu.

Betapapun hakikat bahawa kecelakaan tidak semuanya dapat dielak, Majlis Raja-raja menghargai serta mengiktiraf sahutan (response) daripada badan-badan awam dan swasta, serta orang ramai, menampakkan sekali lagi bahawa pada ketika bencana menimpa, penduduk bersatu hati menyumbang bakti murni bagi mengurangkan penderitaan, tanpa mengira kewarganegaraan, keturunan, agama dan budaya.

Semoga semangat dan sikap yang positif itu, terus dipupuk dijana dan dikembangkan untuk menjadi amalan dan budaya kita pada sebilang masa dan peristiwa. Langkah-langkah bagi bersiap-sedia untuk menangani kejadian seumpama itu pada ketika akan datang, jika berlaku, wajarlah diolah dan dilembagakan sebagai prosedur yang baku (S.O.P.) dengan berkesan.

Majlis Raja-raja turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak samada awam/swasta, Negeri/Persekutuan mahupun pihak Negara luar atas sumbangan kerjasama dan bantuan yang telah dihulurkan pada masa malang yang menimpa itu. Pada masa yang sama kita hendaklah berdoa kepada Allah agar Negara kita dilindungi daripada ditimpa malapetaka pada masa-masa yang menjelang, kerana kita semua seyogia menginsafi bahawa kuasa tuhan pada setiap kejadian, ribut dan taufan, gempa dan gegaran baik di laut mahupun daratan adalah tiada batasan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,
Majlis Raja-Raja,
KUALA LUMPUR

11 Jun 2015

KENYATAAN RAJA-RAJA MELAYU

Berikutan mesyuarat Pre-Council Raja-raja yang diadakan di Istana Negara pada hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengeluarkan kenyataan berikut:

1. Raja-raja Melayu amat prihatin terhadap rasa resah dan kebimbangan yang telah disembah maklum oleh rakyat menyentuh kritikan terhadap kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat mentadbir negara. Budi bicara Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu telah dipohon untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara ketika ini.

2. Sesungguhnya Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni. Justeru itu, Raja-raja Melayu setelah berbincang bersama, merasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan persoalan dan kontroversi yang sedang melanda negara ketika ini, iaitu isu 1MDB. Raja-raja Melayu maklum bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang melakukan siasatan. Baginda sekalian menegaskan perlunya pihak Kerajaan menyelesaikan dengan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan. Jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang, maka Kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan.

3. Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran. Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan. Akibatnya rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberikan impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.

4. Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata yang dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

5. Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara. Demi memastikan Kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang. Untuk itu badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi Kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah ILAHI dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti. Pemimpin-pemimpin hendaklah senantiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

6. Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing. Raja-raja Melayu menzahirkan peringatan bahawa hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur. Oleh itu hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.

Dikeluarkan oleh

Dato Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober 2015.

KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA BERKENAAN DENGAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA YANG KE-238

Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-239 telah diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2015, dan telah dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis. Semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir kecuali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, diwakili oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Pemangku Raja Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, diwakili oleh Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tengku Laksamana Johor.

2. Perkara-perkara mengenai pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan, pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya dan jadual Mesyuarat Majlis Raja-raja tahun 2016 turut dibincangkan.

Dikeluarkan oleh

Dato Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober 2015