Asal-usul Majlis Raja-raja

Sebelum Pembentukan Durbar

Raja-raja dahulu merupakan Raja-raja mutlak, yang mempunyai kuasa perundangan eksekutif dan kehakiman. Raja-raja ini memerintah negeri masing-masing berdasarkan dasar mereka sendiri, dibantu oleh pelbagai kategori pegawai pada nama sahaja. Pada zaman kesultanan Melaka, para pegawai ini diketuai oleh Bendahara (pada zaman ini Bendahara setaraf dengan Perdana Menteri).

Penaklukan Melaka oleh Portugis pada tahun 1511, dan Belanda pada tahun 1641, tidak mengubah struktur tradisi Kesultanan Melayu. Pada awal tahun 1874 pula, pihak British mencampuri pentadbiran Kesultanan Melayu. Sultan-sultan kekal menjadi Raja berdaulat tetapi mereka terikat dengan perjanjian untuk menerima nasihat daripada Residen British, Penasihat atau Penasihat Jeneral.

Sebelum pihak British melengkapkan penguasaan politik mereka terhadap kesultanan Melayu, (Terengganu ialah negeri terakhir menerima penasihat British pada tahun 1919), mereka terlebih dahulu menggabungkan kuasa pentadbiran mereka, dengan membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) pada tahun 1896 dan kemudiannya menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1909, yang ahlinya terdiri daripada empat orang Raja-raja Melayu, yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British.

Sungguhpun pihak British cuba mengekalkan kedaulatan Kesultanan Melayu, tetapi apa yang tinggal bagi Raja-raja Melayu, hanyalah tugas yang berkaitan dengan upacara adat istiadat dan hal-hal keagamaan.

Meskipun Majlis Raja-raja yang ada sekarang merupakan struktur formal perlembagaan, nama majlis ini tidak dapat dipisahkan daripada Kesultanan Melayu yang merupakan tonggak sistem atau institusi beraja di Malaysia. Sebab itu sejarah awal Majlis Raja-raja elok dimulai dengan menelusuri secara sepintas lalu kemunculan Kesultanan Melayu yang ada sekarang. Ini penting bagi menunjukkan pertalian awal di kalangan keluarga diraja yang ada di Malaysia sekarang, sesuatu yang tidak kurang pentingnya dalam menyediakan persekitaran yang akhirnya melahirkan majlis ini.

Kemunculan dan kedudukan Kesultanan Melayu tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Kesultanan Melayu Melaka. Meskipun kesultanan ini bukan kesultanan yang tertua, Kesultanan Kedah diasaskan sekitar kurun ke-13. Kesultanan Melayu Melaka mempunyai signifikan yang besar dalam membina tradisi dan adat istiadat istana yang kemudiannya diwarisi oleh kesultanan-kesultanan yang muncul kemudiannya. Selain itu, Kesultanan Melayu Melaka juga mempunyai peranan dalam membantu mengasaskan dan memperkukuhkan kebanyakan kesultanan yang ada sekarang.

Daripada sembilan kesultanan yang ada, hanya Kesultanan Melayu Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan Kesultanan Melayu Melaka kerana Kesultanan diasaskan oleh kesultanan tersebut sebelum Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Kesultanan Kedah yang pernah dilindungi oleh Melaka memiliki beberapa peralatan diraja termasuk nobat yang dianugerahkan kepada kesultanan ini oleh kerajaan Melaka. Kesultanan Selangor, meskipun diasaskan oleh orang Bugis pada kurun-18, kesultanan ini diberi kesahan oleh Kesultanan Perak yang mempunyai pertalian langsung dengan Raja-raja Melaka. Kesultanan-kesultanan lain seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu muncul selepas keturunan Kesultanan Melayu Melaka pupus. Kesultanan-kesultanan ini jelas mengisi dan meneruskan warisan yang dikosongkan oleh Kesultanan Melayu Melaka selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis. Begitu juga dengan Negeri Sembilan, meskipun Raja-rajanya berasal dari Sumatera. Apabila pihak British campur tangan di negeri-negeri Melayu, bermula dengan Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 dan berakhir dengan perjanjian British dengan Johor pada tahun 1914.

Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja yang berdaulat tidak berubah. Inilah kedudukan Raja-raja di sisi undang-undang, walaupun kenyataannya mungkin tidak sedemikian bebas dan berdaulat. Prinsip ini telah diisytiharkan oleh beberapa keputusan mahkamah yang berbeza kedudukannya dengan kedudukan raja-raja Melayu dalam Malayan Union. Walaupun demikian, Raja-raja terpaksa tunduk kepada kehendak dan tekanan pihak British. Meskipun tekanan itu boleh dipersoalkan di sisi undang-undang, pihak British mempunyai kekuatan untuk memaksa Raja-raja Melayu mendengar perintah mereka.

Campur tangan pihak British di negeri-negeri Melayu, sebuah perkumpulan yang menyamai sebuah persekutuan dibentuk pada tahun 1895. Perkumpulan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Empat orang Raja Melayu duduk dalam Majlis Persekutuan yang fungsinya untuk menggariskan polisi yang dilaksanakan melalui perundangan di peringkat negeri melalui majlis-majlis negeri. Walaupun kuasa perundangan Raja-raja Melayu kekal, namun hanyalah dari segi perlembagaan. Hakikatnya pihak British yang membentuk dan mengawal polisi pentadbiran dan pelaksanaannya di negeri-negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja tahu apa yang mereka terima bukanlah sesuatu yang mereka maksudkan ketika menandatangani perjanjian dengan pihak British. Ini dibuktikan dengan penentangan awal selepas Perjanjian Pangkor yang berakhir dengan pembuangan negeri Sultan Abdullah.

Pembentukan Durbar

Pada 1 Julai 1896, pihak British membentuk Negeri - Negeri Melayu Bersekutu dan menetapkan dengan serta - merta bahawa suatu mesyuarat antara Raja-raja Melayu dengan pihak British hendaklah diadakan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Negeri-Negeri Tanah Melayu. Pihak British menamakan mesyuarat ini sebagai Durbar. Nama ini timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja) Durbar juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja Negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tali persahabatan antara Raja - Raja dengan pihak British.

Durbar yang pertama dijadual diadakan pada penghujung tahun 1896 tetapi terpaksa ditunda kerana Sultan Abdul Samad (Selangor) jatuh gering dan pada akhirnya mesyuarat diadakan di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897. Mesyuarat tersebut berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan.

Pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri - Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri - Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak diwakili kerana Residennya Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Kuala Kangsar dipilih sebagai tempat mesyuarat Durbar yang pertama atas keyakinan pihak British terhadap Sultan Idris. Perhubungan yang baik antara Sultan Idris dengan pihak British ini terhenti pada tahun 1916, berikutan kemangkatan Sultan Idris. Sebelum ini, pendapat Baginda memang selalu diminta oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dijadikan sebagai Raison d'etre bagi pembentukan pelbagai polisi.

Mesyuarat Durbar yang kedua diadakan pada Julai 1903 di Kuala Lumpur, Ibu Negeri Persekutuan. Gabenor Negeri-Negeri Selat pada masa itu ialah Sir Frank Swettenham yang juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Berikut adalah ringkasan yang dibuat oleh Sir Frank Swettenhem mengenai kedua-dua mesyuarat tersebut. Mengenai mesyuarat Durbar yang pertama, beliau menulis dalam laporan rasmi beliau:

Sekiranya dilihat dari pelbagai sudut, mesyuarat ini boleh dikatakan suatu kejayaan dan kini sukar untuk meramalkan kepentingan semasa dan masa hadapan mesyuarat antara Raja - Raja Melayu ini. Mesyuarat yang diadakan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam sejarah Tanah Melayu. Rasa saya, belum pernah kita mendengar seorang Raja sesebuah negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke negeri lain, tetapi kejayaan mengumpulkan kesemua Sultan dari Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan di satu tempat pertemuan merupakan sesuatu kejayaan besar yang mungkin dianggap mustahil.

Pertimbangan ahli Majlis amat menarik dan berguna dan tidak dapat dinafikan bahawa ada pada ketikanya sebarang keputusan sudah pasti tidak akan tercapai sekiranya pertemuan antara Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan penasihat mereka yang bertanggungjawab tidak diadakan. Segala perbincangan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu dan saya pasti, sekiranya perlu diadakan tafsiran, maka mesyuarat yang diadakan sebegini tidak mungkin akan menemui kejayaan. Sultan dan pembesar negeri membincangkan hal yang diminati oleh mereka, tanpa teragak-agak dan kesukaran, dan juga hal berkenaan dengan Agama Islam, adat resam Melayu dan juga persoalan yang menyentuh hak orang Melayu, segala pengalaman dan pengetahuan mengenai hal-hal ini amatlah sukar untuk diperoleh daripada sumber-sumber lain kecuali pada mesyuarat sebegini.

Tentang mesyuarat Durbar kedua, beliau menulis:

Sekali lagi pertimbangan mesyuarat ini, selepas diadakan perbincangan, membuahkan beberapa keputusan yang penting yang mempunyai kaitan yang besar dengan penduduk Melayu. Mesyuarat kali ini penting kerana Raja-raja dari Negeri-negeri sebelah Barat didatangkan ke Kuala Lumpur dengan kereta api manakala Sultan Pahang dan pembesar negerinya menggunakan jal